
Surat Tawaran Haji Dikeluarkan Secara Berperingkat Bermula Jumaat Ini
KUALA LUMPUR — Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji kepada jemaah bagi musim 1447H/2026M secara berperingkat bermula 24 Oktober, Jumaat ini
“Susulan pengumuman Kos dan Bayaran Haji bagi musim 1447H/2026M, Surat Tawaran Haji akan mula dikeluarkan kepada para dhuyufurrahman pada hari Jumaat, 24 Oktober 2025.
“Semakan boleh dibuat menerusi platform THiJARI,” maklum TH dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyarankan bakal para dhuyufurrahman Malaysia menyemak dan menjawab tawaran haji dari semasa ke semasa.
“Semua bakal para dhuyufurrahman Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui laman web rasmi atau aplikasi THiJARI bermula 24 Oktober 2025.
“Para pendeposit yang telah membuat pendaftaran disarankan untuk membuat semakan dari semasa ke semasa kerana tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat.
“Bakal Haji diingatkan untuk mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya kepada RM 15,000 bagi melayakkan diri untuk menerima tawaran haji atau dalam membuat permohonan rayuan haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.
“TH akan membuka Rayuan Haji bermula 3 November 2025 melalui Platform THiJARI,” katanya.
Sebelum ini, TH memaklumkan kos dan kadar bayaran untuk menunaikan haji bagi musim haji 1447H/2026M kekal kepada semua kumpulan sama seperti musim haji lepas termasuk untuk kumpulan B40.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata ia sekali gus menyaksikan kos menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassasah tidak meningkat bagi tiga tahun berturut-turut walaupun berdepan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat.
Beliau berkata kadar bayaran haji bagi kumpulan B40 kekal RM15,000 selepas mendapat Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM18,300, kumpulan M40 (RM23,500) dengan bantuan sebanyak RM9,800 manakala jemaah T20 dikenakan kadar penuh RM33,300.
Abdul Rashid berkata bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah haji yang layak, TH bakal menanggung RM210 juta Bantuan Kewangan Haji bagi musim haji 1447H/2026M.
Sumber: X @DSDrNaim, Tabung Haji
The post Surat Tawaran Haji Dikeluarkan Secara Berperingkat Bermula Jumaat Ini appeared first on Siakap Keli.

