Surat Untuk Luahkan Kebimbangan Rakyat, Jangan Adakan PRU-15 Musim Tengkujuh - Saifuddin

Politics
12 Oct 2022 • 11:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saifuddin berkata surat yang dihantar oleh 12 menteri PN itu adalah mencakupi permintaan agar PRU-15 tidak diadakan ketika musim tengkujuh. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Surat dihantar 12 menteri Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini hanyalah medium untuk menyuarakan kebimbangan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kebimbangan itu turut mencakupi permintaan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak diadakan ketika musim tengkujuh.

Menurut beliau, rakyat hanya mahukan kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

image is not available
Saifuddin Abdullah

“PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini. 

“Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera PN Pahang baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa surat dihantar 12 menteri bernaung di bawah PN adalah antara punca mengapa Parlimen dibubarkan.

Menurut Ismail Sabri, tindakan 12 menteri itu jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri lantikan baginda dan mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin  yang juga Menteri Luar berkata, rakyat pasti mengetahui alasan sebenar Perdana Menteri mahu mengadakan PRU15 dalam masa terdekat. 

“Ia tidak lain adalah berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, justeru Perdana Menteri usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu,” katanya.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen dua hari lalu, menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada jam 3 petang.

Serentak pembubaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Oktober nanti untuk bermesyuarat bagi membincangkan tarikh penting PRU-15.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat tersebut akan membincang dan menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah. - Getaran, 12 Oktober 2022