Surcaj feri kepada pelancong tempatan bermula Isnin

LocalTravel
18 Apr 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Surcaj feri kepada pelancong tempatan bermula Isnin
Pelaksanaan surcaj bahan bakar bunker bagi perkhidmatan feri penumpang ke Langkawi bermula Isnin ini.

ALOR SETAR – Pelaksanaan surcaj bahan bakar bunker bagi perkhidmatan feri penumpang ke Langkawi bermula Isnin ini dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang ditanggung pengusaha feri.

Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Dr Baharin Baharom berkata, langkah diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) itu merupakan pendekatan pragmatik dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan feri kepada rakyat dan pelancong.

Menurutnya, walaupun surcaj berkenaan hanya menyumbang sebahagian kecil daripada kos sebenar operasi, ia sekurang-kurangnya mampu memperlahankan kadar pengucupan modal pusingan yang telah lama dihadapi pengusaha.

“Sejak sekian lama, pengusaha beroperasi dalam keadaan kadar tambang berada di bawah paras kos sebenar, khususnya dengan peningkatan harga diesel marin global,” katanya pada Sabtu.

Jelas Baharin, pelaksanaan surcaj tersebut adalah bersifat bersasar dan tidak melibatkan beberapa kategori pengguna termasuk penduduk tetap Langkawi, warga emas, orang kurang upaya serta penumpang tanpa MyKad.

Sebaliknya, surcaj hanya dikenakan kepada pelancong tempatan sebagai sebahagian usaha berkongsi beban kos operasi yang semakin meningkat.

“Kadar surcaj yang dikenakan adalah antara RM1.05 hingga RM1.35 bagi laluan Kuala Perlis–Langkawi, manakala bagi laluan Kuala Kedah–Langkawi, ia melibatkan kadar antara RM3.80 hingga RM4.80,” ujarnya.

Tambahnya, kadar tersebut masih rendah dan kompetitif berbanding peningkatan sebenar kos bahan api yang ditanggung pengusaha.

Jelas beliau, syarikat itu turut mengakui terdapat rungutan pengguna berhubung pelaksanaan catuan perjalanan feri, namun menjelaskan langkah berkenaan terpaksa diambil bagi memastikan operasi dapat diteruskan tanpa menjejaskan aspek keselamatan serta kebajikan pekerja.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan akses kepada pengangkutan maritim kekal terjamin serta industri pelancongan di Langkawi terus bertahan dalam keadaan mencabar,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan bersetuju melaksanakan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar bagi perkhidmatan feri penumpang dan feri roll-on roll-off (RORO) sebagai langkah mitigasi sementara susulan peningkatan kos operasi.

Menurut MOT, pelaksanaan surcaj itu akan berkuat kuasa mulai 20 April sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, tertakluk kepada keputusan kerajaan.