Secara mengejut Microsoft melancarkan dua keluarga terbaru dalam siri komputer riba Surface mereka pagi tadi. Surface Pro 10 for Business dan Surface Laptop 6 for Business dihasilkan khusus untuk kegunaan perniagaan dan dilengkapi dengan cip Intel Core Ultra bagi memberikan kemampuan AI yang lebih baik.

Surface Pro 10 for Business ditawarkan dengan skrin 13″ LCD sesentuh yang dipadankan dengan cip sehingga Intel Core Ultra 7 165U, memori sehingga 64GB RAM LPPDDR5x dan storan sehingga 1TB SSD Gen 4. Bateri boleh bertahan sehingga 19 jam dengan sekali caj.
Terdapat kamera web 10.5 MP dengan sudut pandangan 114 darjah serta 2x sambungan USB-C Thunderbolt 4 dan satu Surface Connect. Microsoft turut menawarkan pembaca NFC terbina bagi memudahkan mereka yang menggunakan kunci sekuriti fizikal dan turut merancang menawarkan versi dengan sokongan 5G.

Sementara itu Surface Laptop 6 for Business ditawarkan dalam dua saiz iaitu 15″ LCD dan 13.5″ LCD dengan pilihan cip sehingga Intel Core Ultra 7 165H, memori sehingga 64GB LPDDR5X dan storan sehingga 1TB SSD Gen 4. Ketahanan bateri adalah sehingga 19 jam pada versi 15″ dan 18.5 jam pada versi 13.5″.
Kamera web kini menyokong resolusi 1080P tetapi tidak dilengkapi lensa sudut lebar seperti Surface Pro 10. Pilihan I/O pula ialah 2x sambungan USB-C Thunderbolt 4, 1x USB-A 3.1, bicu audio dan satu Surface Connect pada model 15″. Pada model 13.5″ ia adalah sama cuma dengan satu sahaja port USB-C Thunderbolt 4.
Kesemua Surface di atas hanya akan ditawarkan kepada pelanggan perniagaan bermula April pada harga bermula $1,199 untuk Surface Pro 10 for Business dan bermula $1,199 juga untuk Surface Laptop 6 for Business 13.5″
