Suri rumah rugi lebih RM100,000 terjerat pekerjaan tidak wujud

4 Jun 2023 • 9:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang suri rumah kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian. - Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang suri rumah kerugian RM110,556 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, wanita berusia 36 itu dipercayai telah menyertai satu iklan Telegram pada 30 Mei lalu.

"Mangsa dikehendaki membuat 'like' dan berkongsi video menerusi Youtube yang diletakkan dalam aplikasi tersebut.

"Bagi kerja-kerja tersebut, mangsa ditawarkan 15 hingga 20 peratus keuntungan daripada lapan tugasan yang diberikan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, mangsa membuat 21 kali pindahan wang ke lima akaun berlainan untuk menjelaskan bayaran seperti dikehendaki suspek.

"Pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan semua wang simpanan miliknya, selain meminjam daripada rakannya bagi membolehkan kesemua transaksi dibuat.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan dan menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved