
Tawaran Toyota Hilux RM29,600 Rupanya Satu Penipuan – Mangsa Rugi RM108,040
Surirumah Di Sibu Rugi Lebih RM100K Akibat Tertipu Iklan Jualan Kereta Hilux Dalam Talian. Impian seorang surirumah untuk memiliki sebuah Toyota Hilux bertukar menjadi igauan apabila beliau kerugian lebih RM108,000 selepas menjadi mangsa penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, mangsa yang merupakan wanita tempatan dalam lingkungan usia 30-an telah membuat laporan polis pada 15 April setelah menyedari dirinya ditipu.

Tawaran Menarik Jadi Perangkap
Segalanya bermula pada 26 Mac, apabila mangsa terlihat satu iklan dalam talian menawarkan sebuah Toyota Hilux Vigo pada harga RM29,600 — jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa. Tertarik dengan tawaran tersebut, beliau menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Suspek kemudian memaklumkan bahawa beberapa pembayaran tambahan perlu dilakukan, termasuk bayaran pendahuluan, kos mahkamah, dan cukai kenderaan.
32 Transaksi, 10 Akaun Bank, Tapi Tiada Kereta
“Mangsa telah membuat sebanyak 32 transaksi kewangan ke 10 akaun bank tempatan berbeza dari 27 Mac hingga awal April,” kata ACP Zulkipli dalam kenyataan media pada 16 April, menurut laporan media tempatan.
Jumlah keseluruhan yang dibayar mangsa mencecah RM108,040. Namun begitu, selepas semua bayaran dibuat, suspek mula memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan penghantaran kenderaan.
“Apabila mangsa mula berasa curiga, beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis,” tambah beliau.
Kes Disiasat Di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Kes ini kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan juga denda.
Peringatan Buat Orang Ramai
Kes ini menjadi satu lagi peringatan penting kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berurusan melalui platform dalam talian, terutamanya melibatkan jumlah wang yang besar.
Kesimpulannya, jika sesuatu tawaran itu kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, besar kemungkinan ia adalah satu penipuan. Sentiasa waspada dan jangan mudah terpedaya dengan taktik licik scammer yang semakin kreatif hari ini.
Baca juga artikel yang berkaitan dengan taktik terbaru scammer:



