PETALING JAYA - Penubuhan Suruhanjaya Guru diyakini mampu memperkukuh aspek tadbir urus, kebajikan, pembangunan kerjaya serta autonomi profesional kerjaya tersebut.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf berkata, inisiatif terbabit selari dengan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan kebajikan guru sentiasa terpelihara, seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan berdaya saing.
"Pihak kami menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung keperluan penubuhan Suruhanjaya Guru yang dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak tinggi dalam memartabatkan profesion perguruan di negara ini.
"KGMMB percaya bahawa apabila kebajikan dan profesionalisme guru diberi keutamaan, impaknya akan terus diterjemahkan kepada kecemerlangan murid," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis penutup Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bersetuju supaya Suruhanjaya Guru dibentuk dengan kadar segera bagi memartabatkan profesion perguruan negara.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO berkata, beliau sendiri akan membawa saranan yang diluluskan sebagai resolusi dalam Kongres Pendidikan Bumiputera itu ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Mohd.Sobri berkata, data semasa dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan, kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional mencapai 99.95 peratus pada tahun 2024, manakala 76.64 peratus bekerja dalam bidang berkaitan, membuktikan keberkesanan peranan guru dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
Katanya lagi, di peringkat global, guru-guru KPM juga semakin menyerlah dari segi profesionalisme dengan penglibatan aktif dalam program dan pertandingan antarabangsa.
"Mereka bukan sahaja meningkatkan kompetensi diri, malah berjaya membimbing murid ke pentas dunia seperti pertandingan robotik di Korea dan lain-lain bidang inovasi," katanya.
Beliau berkata, KGMMB turut melihat perkembangan ini selari dengan aspirasi yang dibincangkan dalam Kongres Pendidikan Bumiputera di WTC, yang menekankan kepentingan memperkasa pendidikan sebagai wahana mobiliti sosial.
"Sehubungan itu, KGMMB berpandangan bahawa penubuhan Suruhanjaya Guru perlu disegerakan dengan penglibatan semua pemegang taruh agar satu kerangka yang komprehensif dapat diwujudkan.
"Langkah ini diyakini akan memperkukuh profesion keguruan, meningkatkan motivasi warga pendidik dan seterusnya melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan negara," ujarnya.
