
KUALA LUMPUR 8 Dis – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan telah merangka pendekatan penguatkuasaan secara berperingkat dan praktikal bagi membantu syarikat menyesuaikan diri dengan keperluan baharu di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF).
Rangka kerja yang dilancarkan pada September tahun lalu itu terpakai kepada syarikat tersenarai di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta syarikat besar tidak tersenarai dengan hasil tahunan RM2 bilion dan ke atas.
NSRF juga diselaraskan dengan piawaian global Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS.
Menurut SC, pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pemantauan Audit, yang akan memberi keutamaan kepada pembangunan keupayaan, panduan serta semakan berperingkat, berbanding tindakan penguatkuasaan serta-merta.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, banyak syarikat masih berdepan kekangan dalam melaksanakan pelaporan kemampanan secara menyeluruh.
“Banyak syarikat menghadapi kekangan sumber, jurang kualiti data dan akses kepada kepakaran. Pendekatan kami adalah untuk mengimbangi keperluan pematuhan dengan tahap kesediaan yang berbeza dalam kalangan entiti pelapor,” katanya.
Menurut beliau, semakan peringkat awal akan memberi tumpuan kepada usaha membantu syarikat membina kemahiran serta meningkatkan kualiti pendedahan supaya maklumat yang disampaikan adalah konsisten, boleh dibandingkan dan boleh dipercayai.
Bagi kes ketidakpatuhan umum, pihak berkuasa akan mengutamakan libat urus aktif dan tindakan pembetulan sebagai langkah awal, sebelum sebarang tindakan lebih tegas diambil.
Namun, SC menegaskan syarikat yang gagal mengambil tindakan terhadap kelemahan yang dikenal pasti masih boleh berdepan langkah penguatkuasaan.
Menurut SC, pelanggaran serius termasuk salah nyata yang disengajakan atau bersifat penipuan, pendedahan mengelirukan serta pengabaian maklumat material akan mencetuskan tindakan pengawalseliaan tegas bagi melindungi kepentingan awam dan menjaga integriti pasaran.
Mohammad Faiz berkata, pelaksanaan secara berperingkat ini bertujuan memastikan kemajuan yang bermakna dalam landskap pelaporan kemampanan negara, sambil memastikan Malaysia terus memenuhi jangkaan pelabur dan pasaran global. - DagangNews.com
