Suruhanjaya Sekuriti perkukuh syarat Pasaran Utama, ACE bagi tingkat kualiti penyenaraian

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 4:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Suruhanjaya Sekuriti perkukuh syarat Pasaran Utama, ACE bagi tingkat kualiti penyenaraian Image from: Suruhanjaya Sekuriti perkukuh syarat Pasaran Utama, ACE bagi tingkat kualiti penyenaraian hamden28/05/2026 - 16:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan beberapa penambahbaikan utama terhadap Pasaran Utama dan Pasaran ACE dalam usaha memperkukuh kualiti penyenaraian serta memperjelas segmentasi pasaran modal negara.

 

Dalam kenyataan hari ini SC memberitahu, bagi Pasaran Utama, antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk peningkatan keperluan keuntungan, pengukuhan standard pelaporan kewangan serta penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi.

 

Selain itu SC turut memperluaskan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.

 

Bagi Pasaran ACE pula ia diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven) dengan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama.

 

Pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum juga diperkenalkan dalam penambahbaikan Pasaran Ace.

 

SC berkata, Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

 

• Pasaran Utama – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali

 

• Pasaran ACE – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama.

 

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

 

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan iaitu seimbang, memudah cara serta responsif terhadap evolusi model perniagaan.

 

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

 

Faiz menambah, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama. - DagangNews.com

Terkini standard