Suruhanjaya Tenaga Sabah lantik Suria Capital bangunkan loji jana kuasa gas 100MW di Kimanis

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2025 • 10:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Suruhanjaya Tenaga Sabah lantik Suria Capital bangunkan loji jana kuasa gas 100MW di Kimanis

image is not available

31/07/2025 - 10:12

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pengendali pelabuhan, Suria Capital Holdings Bhd telah menerima surat pemakluman awal daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) berhubung pelaksanaan projek loji jana kuasa gas berkapasiti 100 megawatt (MW) yang bakal dibangunkan di Kimanis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Suria Capital berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh konsortium yang melibatkan anak syarikat milik penuhnya, SCHB Engineering Services Sdn Bhd (SCES) bersama rakan usaha sama, Innoprise Corp Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Yayasan Sabah.

“Syarikat telah menggariskan terma-terma komersial dan teknikal utama projek berkenaan.

“Surat ini adalah satu pencapaian penting bagi pembabitan syarikat dalam agenda pembangunan tenaga Sabah. Pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa sejajar dengan kemajuan projek,” katanya.

Suria Capital yang kini mengendalikan lapan pelabuhan utama di Sabah, semakin giat mempelbagaikan portfolionya ke dalam sektor tenaga sejajar dengan pembangunan negeri.

Bagaimanapun, syarikat itu turut menjadi tumpuan baru-baru ini apabila seorang pengarahnya didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000.

Suria Capital bagaimanapun tidak mendedahkan nama pengarah tersebut dan menegaskan kes itu tidak melibatkan sebarang urusan syarikat dan tidak memberi kesan kepada kedudukan kewangannya.

Menurut laporan media, individu terbabit dikenal pasti sebagai Datuk Dr Yusof Yacob, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin yang juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif Suria Capital.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, dengan pengurusan kes ditetapkan pada 5 Ogos ini.- DagangNews.com

featured standard