IPOH - Suspek utama kes tikam dan pembunuhan seorang lelaki dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Trans-Perak, Kampung Gajah, Rabu lalu berjaya diberkas polis dalam satu operasi di Perlis.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar sekitar jam 3.45 petang pada Khamis, dipercayai cuba melarikan diri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, senjata yang digunakan suspek dalam kes terbabit iaitu sebilah pisau turut ditemui selepas dibuang ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.
"Dengan tertangkapnya suspek, kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.
"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Jumaat.
Terdahulu pada jam 5.49 pagi, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki telah ditikam.
Mangsa warga tempatan berusia 29 tahun itu kemudiannya dihantar ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman.
Mohd Alwi berkata, siasatan dijalankan polis mendapati, kejadian berpunca daripada konflik hubungan apabila sehari sebelum kejadian, suspek telah bertemu dengan teman wanita mangsa.
Katanya, dalam pertemuan di kawasan sawah padi di Jalan Trans-Perak, suspek telah mengugut sebelum bertindak merogol wanita berusia 25 tahun berkenaan di dalam kenderaan miliknya.
"Pada keesokan harinya sekitar jam 5 pagi, suspek menghantar wanita tersebut ke keretanya sebelum mangsa tiba di lokasi.
“Mangsa cuba menghalang kenderaan suspek, bagaimanapun suspek bertindak menyerang dan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan pisau.
“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta milik mangsa sebelum meninggalkannya di Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 kanun sama kerana merogol.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu jenayah lampau berkaitan kes kecurian," katanya.
Terdahulu, Mohd Alwi menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak antara Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang telah bersara wajib kepada Timbalannya, Superintenden Mohd Ridzuan Nor Ihsan yang memangku jawatan.
