Suspek bunuh penganggur dalam status pengawasan polis direman seminggu

2 Jan 2023 • 8:07 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Lelaki yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penganggur dalam status orang pengawasan polis di Taman Klebang Putra, Chemor, Jumaat lepas direman hingga Sabtu depan.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata perintah reman yang bermula hari ini terhadap lelaki berusia 27 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini.

“Permohonan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam Mohd Yusri dalam kenyataan dilaporkan berkata lelaki berkenaan ditahan di Chemor.

Dilapor, dalam kejadian kira-kira 11.28 malam, mangsa yang merupakan lelaki berusia 37 tahun ditemukan mati di hadapan rumahnya dan pemeriksaan awal menemukan kesan kecederaan pada beberapa anggota badannya.

Polis pada awalnya tidak menolak kemungkinan mangsa adalah mangsa kemalangan namun bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan pelbagai akibat objek tumpul dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh. - Bernama