Suspek Bunuh Penuntut Universiti Dikesan Guna Kad ATM Mangsa – Polis

LocalPolitics
26 Jun 2025 • 9:46 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis memaklumkan suspek pembunuhan seorang penuntut universiti di Cyberjaya dikesan membuat transaksi pengeluaran wang automatik ATM milik mangsa setelah wanita itu dibunuh.

Suspek guna kad ATM mangsa

image is not available

Foto: Free Malaysia Today

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan, sebanyak lima hingga enam transaksi dikesan di sekitar ibu negara.

“Berdasarkan siasatan kita, suspek lelaki terbabit mula melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad perbankan mangsa tidak lama selepas mangsa dibunuh.

“Pada masa ini kita siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti identiti suspek sekali gus mengesan keberadaannya,” kata Norhizam di Kuala Lumpur, hari ini.

Norhizam mendedahkan kad perbankan mangsa merupakan salah satu barang yang dilaporkan hilang dalam kes pembunuhan itu.

“Selain kad ATM, barangan lain yang dilaporkan hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan secara lebih lanjut,” jelasnya.

image is not available

Foto: Harian Metro

Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha mendapatkan maklumat berkaitan kes dan merakam keterangan saksi di lokasi kejadian.

Untuk rekod, mangsa merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya, ditemui mati sekitar jam 10 pagi dalam bilik kediamannya di Mutiara Ville, dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

Sehingga kini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Sumber: Berita Harian (Safeek Affendy Razali)