Suspek culik Albertine Leo akan didakwa di dua mahkamah esok

LocalPolitics
7 Aug 2024 • 9:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

JOHOR BAHRU - Suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun Albertine Leo Jia Hui akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai pada Khamis.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Komisoner M Kumar menerusi satu kenyataan pada malam Rabu.

"Polis Kontinjen Johor mengesahkan telah merujuk dua kertas siasatan melibatkan suspek kes culik seorang kanak-kanak berusia enam tahun di kawasan Eco Galleria yang berlaku pada 20 Julai lalu ke Pejabat Pendakwaraya Johor.

"Seterusnya menerima arahan 15 pertuduhan membabitkan Seksyen 363 Kanun Keseksaan, Seksyen 346 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(b), Seksyen 10, Seksyen 15a(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017," katanya.

Sebelum ini, pada Isnin, suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun Albertine Leo Jia Hui direman enam hari lagi, bermula hari ini sehingga 10 Ogos.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berumur 31 tahun dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi di Mahkamah Majisteret Kulai di sini selepas membenarkan permohonan polis.

Perintah reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Sekayen 292 Kanun Kesekaan kerana memiliki bahan lucah.

Pada Ahad, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, suspek yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis, sebelum ditahan semula semalam, susulan penemuan bahan pornografi dan peralatan seks di kediamannya di Kulai.

Pada 23 Julai lalu, suspek ditahan bersama mangsa kira-kira jam 4.45 pagi di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan mengikut 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Empat suspek lain berusia antara 28 hingga 56 tahun yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.