
TAWAU: Seorang suspek pencuri motosikal diberkas polis kurang 24 jam selepas kejadian di kawasan Jalan Merotai - Kalabakan, sekitar jam 2.40 petang, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek tanpa dokumen pengenalan diri itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai yang menjalankan rondaan cegah jenayah (RCJ).
Menurutnya, pasukan tersebut menahan suspek yang sedang menunggang motosikal, apabila melihat jentera itu sama seperti hebahan motosikal hilang oleh Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Anggota RCJ berkenaan bertindak mengekori suspek sehingga ke kawasan Felda Umas, Kalabakan dan menghubungi anggota Polis Bantuan Felda Umas Kalabakan untuk mengesan suspek di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan suspek di kawasan perumahan kakitangan Kilang Sawit Umas, Kalabakan,” katanya lagi.
Jasmin berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.
Tambahnya, suspek ditahan bersama rampasan motosikal dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Jasmin berkata, polis menerima laporan kehilangan motosikal oleh pemilik kenderaan tersebut pada jam 10 pagi, hari yang sama di hadapan bangunan Maybank Tawau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa polis daerah ini akan lebih aktif menjalankan operasi berkonsepkan kepolisan agresif dalam usaha menangani kes-kes jenayah dan dadah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
