Suspek Kes Bella Didakwa Esok – Polis

23 Jan 2024 • 10:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Suspek Kes Bella Didakwa Esok – Polis

Polis mengesahkan suspek kes kehilangan Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella sejak 14 Disember tahun lepas akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu esok, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata satu arahan berkaitan dengan tahanan reman telah diberikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan telah mendapat arahan tuduh terhadap seorang daripada tangkapan dalam tahanan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertuduhan itu akan dibuat di mahkamah tersebut, kata Ismail.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat Jumaat lepas, ialah milik Bella.

Menurut Ismail, pihaknya menerima laporan analisis DNA sampel patologi yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor Ahad lepas, dan mendapati ia sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak kepada ibu tunggal beranak dua itu.

“Pihak polis telah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” ujarnya.

Sementara itu, kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, ketika dihubungi berkata jenazah akan dituntut pagi esok dan akan dibawa ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang.

Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.

Sebelum itu, Bella gagal dihubungi selepas keluar rumah dengan menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam 14 Dis tahun lepas, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran.

Sumber: BERNAMA