Suspek kes buli penuntut UPNM ditekap seterika dituduh esok

LocalPolitics
7 Nov 2024 • 6:32 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang individu akan dituduh di mahkamah di sini esok berkait kes buli seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ditekap dengan seterika.

Menurut kenyataan Polis Kuala Lumpur, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.

“Kes pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan membabitkan kes buli pelajar UPNM," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap kes berkenaan telah dimulakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan pada Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai berlaku di bilik asrama UPNM pada kira-kira jam 11.45 malam, 22 Oktober selepas suspek berumur 22 tahun yang juga penuntut senior tahun empat UPNM meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya.

Tiba-tiba senior terbabit mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap di bahagian pada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Tindakan pelajar senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur.

Beberapa pelajar senior lain dikatakan turut berada di dalam bilik yang sama ketika kejadian. - 7 November, 2024