Suspek kes langgar lari di Jalan Tun Razak direman tujuh hari

6 Jul 2026 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suspek kes langgar lari di Jalan Tun Razak direman tujuh hari
Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar daripada belakang oleh sebuah kereta berdekatan HKL pada jam 6 pagi semalam.

KUALA LUMPUR - Suspek lelaki yang ditahan kerana terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Tun Razak pagi semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kes lelaki berusia 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, kes berkenaan pada peringkat awal disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum pihak Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Permohonan dibuat di Bilik Reman Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi tadi dan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 12 Julai," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zamzuri dalam kenyataannya semalam memaklumkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar daripada belakang oleh sebuah kereta berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 6 pagi.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan HKL.

Katanya, polis kemudian berjaya mengesan kereta dipercayai terlibat dalam kes itu dan mendapati ia merupakan sebuah kenderaan sambung bayar yang digunakan oleh pemandu semasa kejadian.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu berusia 30 tahun itu telah hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira 6.30 petang semalam sebelum ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Suspek dibawa menjalani ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing. Hasil saringan awal mendapati kedua-dua ujian adalah negatif,” katanya. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved