Suspek Kes Tembak KLIA Direman Seminggu

16 Apr 2024 • 1:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hafizul Hawari, 38 dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi tadi - gambar BERNAMA

KOTA BHARU - Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Mahkamah Majistret Kota Bharu mengeluarkan tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960.

Perintah tahanan reman sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah pada 8.25 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek yang terlibat dengan kejadian itu ditahan pada kira-kira jam 3 petang semalam, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan kini dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Hawari, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan. - BERNAMA