Susun Semula Fungsi Kerjasama Rentas Agensi, Kerajaan Laksana Inisiatif ‘Single Window’

Politics
28 Aug 2023 • 7:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama di Putrajaya hari ini. gambar Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi kerjasama merentas agensi dalam ekosistem syarikat pemula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan bertindak sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan ketika membuat sebarang keputusan.

Menurut beliau, single window tersebut turut menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025.

“Malaysia disasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

“Sasaran itu termasuk membangunkan ibu negara sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau,” katanya hari ini.

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun ini.

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN). gambar Pejabat Perdana Menteri

Mesyuarat terbabit disertai barisan Menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan terdiri daripada wakil sektor swasta, industri, akademia, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang dipilih melalui permohonan terbuka. 

MED4IRN berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif berkaitan agenda transformasi digital negara.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Anwar memberitahu, MED4IRN sudah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula.

Majlis juga katanya, bersetuju meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan. 

“Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terbabit dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“IDN adalah bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu. 

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama di Putrajaya hari ini. gambar Pejabat Perdana Menteri

“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan,” katanya.

Jelas Anwar, IDN akan memastikan transaksi dalam talian berada dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat.

“Kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara. 

“Pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. - Getaran, 28 Ogos 2023