Axiom Space ialah syarikat swasta yang merancang membina sebuah hotel di angkasa lepas dan juga mempunyai aspirasi menghantar angkasawan berbayar ke permukaan bulan. Semalam Axiom Space memperlihatkan sut Axiom Extravehicular Mobility Unit (AxEMU) yang akan dipakai oleh angkasawan NASA ketika melakukan misi Artemis III di permukaan bulan kelak. Yang menjadikan sut permukaan bulan ini agak unik ialah ia menerima sentuhan jenama fesyen mewah Prada.

Bahan fabrik luar AxEMU dipilih dan dijahit menggunakan kepakaran Prada. Setiap sut dilengkapi kamera HD dan juga sambungan 4G LTE di permukaan bulan. Selain itu terdapat sistem yang memastikan angkasawan boleh melakukan aktiviti selama lapan jam di permukaan bulan. Ia direka untuk dipakai oleh angkasawan dengan saiz tubuh dan jantina yang berbeza.

Artemis III ingin mengembalikan semula manusia ke permukaan bulan. Ia pada asalnya akan dilakukan menjelang 2026 dengan salah satu angkasawan NASA yang mendarat akan menjadi wanita pertama di permukaan bulan. Misi Artemis telah mengalami beberapa kelewatan kerana isu dengan roket SLS, kapsul Boeing Starliner dan kapal angkasa Starship yang masih belum beroperasi sepenuhnya.

