
Selang beberapa bulan selepas pelancaran iCAUR 03, kini jenama kereta dibawah payung Cherry ini kembali dengan SUV elektrik terbaru iaitu iCAUR V23 untuk pasaran Malaysia yang akan dijual pada tanda harga bermula RM119,800.

Dari segi rekaan, iCAUR V23 kelihatan sedikit berbeza dengan iCAUR 03 yang menggunakan rekaan yang berkotak dan bersegi namun untuk iCAUR V23 ini ia mengetengahkan rekaan yang bulat selain menggabungkan dua konsep berbeza iaitu rekaan minimal yang moden serta rekaan klasik kereta lasak. Rekaan iCAUR V23 ini juga mengingatkan saya kepada Suzuki Jimny dan Mercedes G Wagon.


Untuk pasaran Malaysia ia hadir dengan dua jenis varian iaitu 2WD dan iWD sama seperti iCAUR 03 sebelum ini. Versi 2WD menggunakan satu motor yang menghasilkan kuasa 100kW dan 180 Nm tork. Sementara versi iWD atau Pacuan Roda Pintar dua motor pada bahagian depan dan belakang yang menghasilkan kuasa sebesar 155kW dengan tork pada 292 Nm.

Bateri pada versi 2WD adalah sebesar 59.9kWh yang memberikan jarak perjalanan sehingga 401 km (NEDC). Versi iWD dimuatkan dengan bateri 81.8 kWh NMC dengan jarak perjalanan sehingga 501km (NEDC). Dari segi pengecasan, kedua varian menggunakan pengecas AC yang sama iaitu 6.6kW namun berbeza untuk pengecasan DC. Versi 2WD menggunakan 85kW dan iWD pula menggunakan 104kW. iCAUR V23 ini juga lengkap dengan ciri V2L yang sesuai untuk kegunaan seperti berkhemah.

iCAUR V23 versi 2WD akan dijual pada tanda harga RM119,800 manakala untuk versi iWD ia akan dijual pada tanda harga RM132,800. Dari segi waranti, iCAUR akan memberi 7 tahun atau setelah capai 150,000 km, 8 tahun atau capai 160,000 km untuk bateri dan motor kuasa. Lebih menarik iCAUR menawarkan penggantian bateri secara percuma jika tahap kesihatan bateri jatuh bawah 70% dalam masa 8 tahun. Untuk promosi awal, para pelanggan akan mendapat pengecas AC 7kW, cluster instrumen bersaiz 6.86″ bernilai RM1,000, dan lanjutan jaminan kepada 10 tahun atau setelah mencapai 200,000 km.

