Sweden Pertimbang Larangan Penggunaan Telefon Pintar Di Sekolah

29 Jan 2026 • 12:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Selepas Singapura, Sweden kini turut mengambil langkah serupa dengan merancang pengharaman penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar sekolah. Hakikatnya, gerakan ke arah larangan tersebut sudah pun wujud di negara itu sejak kebelakangan ini. Malah hampir 80% sekolah telah pun menguatkuasakannya meskipun pelaksanaannya masih bergantung kepada budi bicara pengetua masing-masing.

image is not available

Namun begitu, kerajaan Sweden bertekad untuk memperluaskan larangan tersebut secara menyeluruh bermula Ogos 2026. Melalui pelaksanaan ini, para pelajar diwajibkan menyerahkan telefon pintar mereka pada awal hari persekolahan, dan hanya dibenarkan mengambilnya semula setelah sesi pembelajaran tamat.

image is not available

Menurut satu kajian, pelajar di Sweden didapati lebih mudah terganggu oleh penggunaan alat digital di dalam bilik darjah berbanding purata pelajar di OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development). Oleh sebab itu, kerajaan Sweden mencadangkan larangan penggunaan telefon pintar sepanjang hari persekolahan bagi mengurangkan gangguan dalam proses pembelajaran.

image is not available

Sekiranya cadangan ini diluluskan oleh parlimen, larangan tersebut akan berkuat kuasa menjelang musim luruh pada Ogos 2026. Selain itu, peraturan ini bukan sahaja terpakai di sekolah malah turut meliputi kemudahan penjagaan selepas waktu sekolah.