Swing & Pillows, MyBHA meterai MoU sewa bilik kosong hotel bajet tempatan melalui platform iBilik

25 Jul 2023 • 4:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Swing & Pillows, MyBHA meterai MoU sewa bilik kosong hotel bajet tempatan melalui platform iBilik

diyana

25/07/2023 - 16:23

KUALA LUMPUR 25 Julai - Rangkaian hotel dan kediaman bersama di Malaysia, Swing & Pillows telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) agar hotel bajet boleh menyewakan bilik kosong melalui platform iBilik.

Kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang merupakan usaha bagi membantu mengurangkan impak peningkatan kos operasi hotel, menjadikannya langkah pertama bagi membantu lebih 9,000 hotel bajet di Malaysia.

Menurut kenyataan media Swing & Pillows hari ini, MyBHA pada masa ini mempunyai 2,000 ahli di seluruh negara dan kerjasama tersebut dijangka memacu peningkatan dalam pangkalan keahliannya.

Menurut syarikat itu, kerjasama tersebut membolehkan hotel bajet berdaftar dengan MyBHA menyewakan bilik kosong bagi jangka panjang, termasuk kemudahan seperti mesin basuh dan pengering baju serta iBilik Smart Meter, iaitu peranti yang menyediakan data penggunaan agar pengendali hotel berupaya mengawal penggunaan tenaga dan kecekapan operasi keseluruhan.

Jelasnya, pengambilalihan secara sebahagian ini memberikan peluang kepada hotel bajet memperbaharui model perniagaan tradisional dan menambah elemen kediaman bersama bagi meningkatkan daya saing dalam landskap hotel secara keseluruhan.

“Usaha mempelbagaikan aset menjadi penyewaan jangka panjang adalah selari dengan peningkatan permintaan penginapan alternatif, terutamanya dalam kalangan generasi muda Malaysia berumur 20 sehingga 39 tahun, di mana satu daripada tiga orang beralih daripada tradisi memiliki rumah kepada penyewaan yang lebih fleksibel,” tambahnya.

Mengulas perkongsian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Swing & Pillows, Ken Lee berkata ia mengoptimumkan potensi ruang yang tidak digunakan dalam sektor hospitaliti, sekali gus memenuhi permintaan, terutama ketika kerja secara jarak jauh dan pengalaman hidup yang berbeza semakin menjadi keutamaan.

“Kami mahu pengendali hotel bajet yang sedang menghadapi kesukaran tahu bahawa bantuan sedang diusahakan dan tidak lama lagi ada cara baharu untuk memproleh pendapatan seperti menerusi penyewaan jangka panjang,” ujar beliau.

Syarikat itu berkata, MoU itu merupakan sebahagian daripada pelaburan Swing & Pillows dalam teknologi dan kemudahan hotel ke arah matlamat tiga tahun untuk berkongsi dan menguruskan bersama 15,000 buah bilik hotel menerusi perkongsian hotel.

Di samping pendapatan sebanyak RM48 juta setahun yang disumbangkan kembali kepada syarikat induknya, GFG Group, Swing & Pillows berkata ia dianggarkan dapat menjana hasil pasaran tahunan sebanyak RM200 juta, yang akan memberi manfaat secara langsung kepada pertumbuhan hotel bajet tempatan. - DagangNews.com