
SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengumpul 345,033 kilogram (kg) barangan kitar semula daripada 6,441 ahli KITARecycle di Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.
Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata ini menunjukkan reaksi positif daripada masyarakat di negeri ini terhadap kepentingan melaksanakan aktiviti kitar semula sekali gus menjaga alam sekitar.
“Program ini menyediakan aplikasi mesra pengguna KITARecycle bagi memudahkan setiap ahlinya mendaftar serta menyemak jumlah berat barangan kitar semula termasuk plastik, kertas dan barangan elektronik.
“Mereka kemudiannya boleh menebus mata ganjaran kitar semula untuk ditukarkan kepada wang tunai, ia sebagai galakan kepada masyarakat untuk terus menjaga persekitaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan 792 premis kediaman di Taman Bayu Indera Fasa 1, Port Dickson mendaftar di bawah program berkenaan dengan kaunter kutipan barangan kitar semula dibuka pada Sabtu minggu ketiga bermula 9 pagi hingga 11 pagi.
Mohd Norlisam berkata program berkenaan mampu membudayakan amalan pengasingan di punca (SAS) dan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) supaya gaya hidup hijau dapat diterapkan dalam kehidupan harian.-Bernama

