
Kota Kinabalu: Dua anggota polis dipenjara tiga tahun dan didenda berjumlah RM32,500 kerana meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memiliki syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menjatuhkan hukuman terhadap Koperal Baharrudin Tuge, 47, dan Lans Koperal Mohd Izzam Gorudin, 40, selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan dihadapi pada Khamis.
Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-duanya dan mensabitkan mereka atas pertuduhan itu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Baharrudin berdepan dua pertuduhan manakala Mohd Izzam hanya satu pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Baharrudin dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Cheung Lai Peng sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya, Shafiqqurazi Alitus Abdullah, yang memiliki syabu.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 4.30 petang, 7 Ogos 2017 di dalam sebuah kereta yang diparkir di Jalan Inobong Putaton Bunsadon, Penampang.
Bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu kerana menerima rasuah sebanyak RM300 daripada individu sama untuk tujuan sama, yang dimasukkan ke dalam akaun bank Baharrudin.
Dia melakukan kesalahan itu pada jam 10.41 pagi, 8 Ogos 2017 di Maybank, Penampang. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Baharrudin dijalankan secara serentak.
Kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Izzam dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM12,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu kerana menerima rasuah RM2,500 daripada Shafiqqurazi untuk tujuan yang sama jam 2.30 petang, 7 Ogos 2017 di dalam sebuah kereta yang diparkir di Jalan Inobong Putaton Bunsadon, Penampang.
Seramai 17 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun denda perlu dibayar pada Khamis.
Notis rayuan mesti difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Azhier Arisin mewakili kedua-dua tertuduh.
