Syabu, ganja: Lelaki dipenjara, sebatan

26 Aug 2025 • 4:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 41 tahun dijatuhi hukuman penjara berjumlah tujuh tahun dan 10 bulan serta dikenakan 10 kali sebatan rotan kerana memiliki syabu dan ganja.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozan Roslan Junior yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, Rozan dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan kerana memiliki 36.25 gram syabu pada jam 3.30 petang, 29 April 2024 di sebuah rumah di Inanam Laut, Kalansanan, di sini.

Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga penjara seumur hidup serta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara 10 bulan lagi kerana memiliki 0.43 gram ganja di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 6 ADB itu membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Rozan menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula dari tarikh tangkapannya.

Semasa mitigasi, Rozan yang tidak diwakili memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fradiansyah Abdul Kadir yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan itu serius dan berleluasa.