Penyanyi, Syada rindu Shila Amzah sebab darah daging selepas perkongsian video sempena ulang kelahiran kakaknya disalah erti segelintir warganet, baru-baru ini.
Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Amzah, 26, berkata, video tersebut hanyalah ucapan normal yang sering dilakukan oleh setiap adik-beradik.

Syada rindu Shila Amzah sebab darah daging
Jelas Syada, dia amat merindui kakaknya selepas hampir setahun mereka tidak bertemu, namun juga masih berhubung.
“Kami semua rindu dia, normal sebab darah daging.
“Perasaan rindu itu sentiasa ada. Kemudian kalau masuk ke kereta semula, pun dah rindu balik sebab darah daging kan.
“Sebenarnya, ucapan video itu tak ada makna apa-apapun. Ia bukan untuk orang luar pun sepatutnya untuk dijadikan apa-apa isu. Saya rasa, saya ucapkan kepada kakak saya sendiri. Pada masa sama, saya tunjukkan penghargaan dan tak ada maksud lain sama sekali,”katanya.
Syada berkata, perkara memuat naik video bersempena ulang tahun kelahiran seseorang adalah normal dan dia juga mempunyai banyak video bersama orang lain.

Namun, apa yang membezakannya adalah video tersebut dihantar secara terus kepada individu berkenaan dan bukan media sosial.
Katanya lagi, dia juga ada berkomunikasi dengan kakaknya dan mendapat maklum balas positif.
Normal adik-beradik bergaduh
Tegas Syada, dia tidak pernah bermusuhan dengan kakaknya dan menganggap pertelingkahan antara mereka hanya pergaduhan normal adik-beradik.
“Nak kata bergaduh pun, kami tidak bercakaran. Ia adalah hubungan normal adik-beradik, kira macam hari ini tak bercakap, esok dah sayang-sayang.
“Nak kata dari awal bergaduh pun, tak ada dan sekarang, kami menjalani hubungan normal seperti mana sejak kami kecil. ‘Hate love relationship’. Dengan abang saya, Syahir pun sama juga.
“Kali terakhir berjumpa, pada majlis perkahwinannya. Jadi, belum berkesempatan nak berjumpa anak buah baharu. Jadual kami selalu tak kena untuk berjumpa,” katanya.
Syada nafi video ‘wish birthday’ Shila Amzah ada makna tersirat
Dalam pada itu, dia turut menafikan dakwaan segelintir netizen yang mendakwa kewangannya semakin merosot dan video itu dimuat naik kerana mahu berbaik dengan kakaknya.
“Dakwaan atau kata-kata hanya sekadar kata-kata kepada saya sebab apa yang mereka cakap pun, sampai sekarang tak ada yang boleh datang tunjukkan bukti. Itu hanya spekulasi. Saya tak boleh kawal benda itu.
“Jujurnya, saya tak masukkan dalam kepala saya pun sebab itu bukan masalah saya. Bahkan, kalau saya sedang tidur pun, orang akan tetap bercakap sebab itu yang mereka nak buat.
“Secara langsung tak ada sebab saya rasa, orang pun dah ‘move on’. Kita pun dah di tahun baharu dan dah hampir setahun isu itu. Kebanyakan orang yang dekat dengan saya tahu ada benda lain mereka perlu fokus,” katanya lagi.

Syada turut memberitahu ibu mereka, Fauziah Sarman dan kakak masih saling berhubung.
Terdahulu, Syada memuat naik video sempena ulang tahun kelahiran Shila di Instagram miliknya dengan menggunakan lagu ‘When We Were Young’ nyanyian Adele.
Dalam rakaman tersebut memperlihatkan momen-momen lama yang pernah dirakamnya ketika bersama Shila Amzah.
Untuk rekod, hubungan antara pemilik nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah dan keluarganya seakan ‘memanas’ pada tahun lalu setelah beberapa pendedahan dibuat oleh adik beradiknya termasuk ibu kandung.

Walau bagaimanapun, mereka memilih untuk tidak lagi bercakap mengenai masing-masing selepas isu tersebut berlarutan beberapa waktu sehingga pelbagai spekulasi kurang tepat beredar di media sosial.

