Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Berikut adalah info mengenai syarat kesihatan yang terbaharu yang perlu diambil perhatian oleh semua Jemaah Haji untuk tahun 2026.

Definisi Haji
Haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima.
Ibadah ini didefinisikan sebagai mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji iaitu dari 1 Syawal hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya.
Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Terdapat pelbagai kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi yang mengerjakan ibadah Haji antaranya:
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan ibadah haji semata-mata kerana Allah dan dia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar daripada ketaatan) maka dia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa).” (Riwayat Bukhari).
Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji (BH)
Setiap bakal jemaah Haji perlu melalui pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji (BH) selaras dengan kehendak Akta 535 Akta Tabung Haji 1995 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji.
Pemeriksaan kesihatan ke atas setiap BH ini penting bertujuan untuk mengenalpasti BH yang berisiko mendapat komplikasi kesihatan semasa di Tanah Suci dan mengoptimakan tahap kesihatan.
Ini selaras dengan maksud isitito’ah yang menjadi salah satu syarat wajib haji sebelum diluluskan supaya mereka dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Setiap Pegawai/Pakar Perubatan berdaftar (kerajaan dan swasta) akan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas pemeriksaan kesihatan ke atas BH dengan sempurna dan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.
Jemaah Layak Menunaikan Haji

Jemaah yang di dalam kategori kesihatan berikut layak menunaikan haji:
- Bebas dari penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal.
- Berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
Jemaah Tidak Layak Menunaikan Haji
Namun, jemaah yang di dalam kategori kesihatan di bawah tidak layak menunaikan haji:
- Kegagalan buah pinggang kronik
- Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
- Penyakit paru-paru kronik
- Penyakit hati kronik
- Masalah neurologi/mental yang menjejaskan fungsi kognitif/motor
- Warga emas dengan dementia/fizikal lemah
- Kehamilan berisiko tinggi
- Penyakit berjangkit aktif
- Penyakit kanser yang sedang dalam rawatan.
Klinik Kesihatan Jemaah Haji
Pihak Tabung Haji dengan kerjasama KKM telah menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.
Selain itu, pihak Tabung Haji masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah Haji di Makkah dan Madinah.
Setiap bangunan tersebut akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara, termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya.
Namun, bermula tahun 2026 juga, Tabung Haji tidak lagi dibenarkan untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.
Bagi mereka yang memerlukan rawatan lanjut, jemaah akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar-pakar perubatan KKM.
Panduan Kesihatan BH
Panduan kesihatan yang perlu diambil perhatian oleh BH adalah seperti berikut:
- Turunkan berat badan pastikan BMI di bawah 37.5
- Kawal penyakit kronik (terutama diabetes & darah tinggi)
- Ambil ubat secara konsisten
- Jaga pemakanan
- Biasakan diri berjalan jauh di kawasan berbukit atau bertangga
- Jumpa doktor sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum berlepas
- Berhenti merokok daripada sekarang

Info Lanjut
Info lanjut mengenai syarat kesihatan Jemaah Haji 2026, sila layari laman web Tabung Haji iaitu https://www.tabunghaji.gov.my/.
Baca juga: Kursus Asas Haji 1447h (2025/2026) – Jadual & Download Nota

