Syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand, Aapico labur RM140 juta untuk hasilkan kompenen kereta Proton

Business & FinanceCars
4 Jul 2023 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand, Aapico labur RM140 juta untuk hasilkan kompenen kereta Proton

zulfadli

04/07/2023 - 09:56

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pengeluar kereta nasional, Proton bekerjasama dengan AAPICO Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi subsidiarinya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global), untuk mengeluarkan komponen dan alat ganti seperti dies, jig, hot stamping, badan kenderaan dan casis.

Kerjasama berkenaan akan menyaksikan Aapico memegang sebanyak 60% AVEE Global daripada Proton yang memiliki 40% pegangan, dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, usaha sama berkenaan mengukuhkan lagi cita-cita syarikat untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Katanya, dengan memanfaatkan skala ekonomi dan inisiatif pelaburan Aapico serta gabungan teknologi sedia ada Proton dalam bidang seperti 'hot press forming', syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia.

"Usaha sama dengan Aapico akan memberi manfaat kepada Proton dengan membantu syarikat dari segi pengoptimuman kos, kecekapan dan kualiti yang lebih baik dalam pengeluaran kereta nasional kita.

"Memandangkan jumlah pengeluaran kami meningkat seiring dengan pelan perancangan model, kami akan terus berusaha untuk memastikan produk kami setanding dengan pesaing dari segi ciri-ciri serta kualiti dan pada masa yang sama, terus menawarkan jaminan keselamatan yang cemerlang daripada penggunaan teknologi seperti hot press forming," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang turut dihadiri Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aapico, Yeap Swee Chuan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

image is not available

image is not available

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aapico, Yeap Swee Chuan berkata, pihaknya mengambil peluang untuk menyertai sektor pembuatan alat ganti di Malaysia pada masa yang tepat, dengan perkembangan baik dijangka dalam industri automotif, diterajui permintaan yang kukuh untuk kenderaan Proton dan disokong pertumbuhan ekonomi yang mantap.

"Kami berhasrat untuk membawakan kepakaran dan teknologi pembuatan dalam usaha sama ini dan menyediakan alat ganti bertaraf dunia kepada Proton dan menyokong pelan perkembangan mereka di pasaran tempatan dan eksport," katanya.

Kerjasama berkenaan akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 8.10 hektar AVEE Global.

image is not available

Ia disusuli dengan perancangan untuk meluaskan lagi usaha sama berkenaan bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan Proton dan keseluruhan sektor automotif yang semakin meningkat, yang membabitkan pelaburan sebanyak RM100 juta dalam perancangan 2024 dari segi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu.

Pada awal tahun ini, syarikat Thailand berkenaan menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, salah satu pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Dengan pelaburan awal sebanyak RM30 juta, Aapico memegang 49% pemilikan manakala Purem pula sebanyak 51% daripada Purem Aapico Sdn Bhd, yang akan mengeluarkan sistem ekzos dan mula membekalkannya kepada Proton dalam suku ketiga tahun ini. - DagangNews.com