Syarikat Amerika Digodam Sebagai Balasan Serangan Ke Atas Iran

WorldTechnology
12 Mar 2026 • 9:39 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perang Amerika-Israel ke atas Iran sudah hampir memasuki minggu ketiga dengan impaknya dapat dilihat pada harga jualan minyak yang meningkat di Malaysia. Lebih seribu kematian telah dilaporkan di Iran disebabkan serangan yang dilakukan setakat ini. Semalam, syarikat peralatan perubatan Stryker yang berpangkalan di Amerika Syarikat telah diserang kumpulan penggodam Handala yang dikaitkan dengan Iran.

Handala mendakwa serangan itu adalah tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu AS ke atas sebuah sekolah di Minab, Iran, yang mengorbankan lebih 175 orang. Mereka mendakwa berjaya memadam 50 TB data kritikal Stryker menyebabkan peranti kegunaan kakitangan tidak lagi beroperasi.

image is not available

Stryker mengesahkan mereka menjadi mangsa serangan tetapi menyatakan tiada bukti perisian hasad atau tebusan digunakan. Pada waktu yang sama insiden kini terkawal tetapi kos ke atas operasi masih belum diketahui.

Media Iran melaporkan bahawa pejabat syarikat teknologi AS seperti Microsoft, Google, Palantir, IBM, NVIDIA, dan Oracle mungkin menjadi sasaran di Timur Tengah kerana penglibatan mereka dengan teknologi yang digunakan oleh tentera.

Serangan siber yang dilakukan ini turut boleh dilihat sebagai balasan kepada serangan siber yang dilakukan Israel ke atas aplikasi waktu solat BadeSaba. Aplikasi memaparkan notifikasi meminta anggota tentera untuk meletakkan senjata. Ia juga meminta anggota tentera melawan kerajaan dan membantu penyokong anti kerajaan yang ingin menggulingkan pucuk pimpinan negara. Anggota yang belot dijanjikan pengampunan sekiranya kerajaan berjaya dijatuhkan.