
Syarikat AS Temui Telaga Minyak Di Perairan Vietnam
HANOI — Sebuah syarikat tenaga dari Amerika Syarikat, Murphy Oil mengumumkan penemuan baharu telaga minyak di luar pesisir selatan Vietnam, lapor Mothership.
Penemuan itu berpotensi menjadi penemuan minyak terbesar di ASEAN dalam tempoh 20 tahun.
Memetik firma perunding tenaga Wood Mackenzie, sebuah telaga penilaian telah digerudi oleh anak syarikat Murphy di medan minyak Hai Su Vang, yang terletak di Lembangan Cuu Long berhampiran Bandar Ho Chi Minh, menurut laporan Nikkei.
Difahamkan, anggaran sebelum ini adalah antara 170 hingga 430 juta tong setara minyak (MMBOE).
Dianggarkan melebihi 430 juta tong
Anggaran titik tengah terbaharu kini berada hampir ke paras tertinggi julat tersebut, manakala had atas julat baharu melebihi 430 MMBOE.
“Selain itu, keputusan daripada takungan cetek menunjukkan potensi sumber boleh pulih tambahan yang tidak termasuk dalam julat yang diumumkan sebelum ini,” kata syarikat dari Amerika itu.
Penemuan ini berpotensi membalikkan trend di Vietnam yang menyaksikan negara itu berubah daripada pengeksport bersih minyak mentah kepada pengimport bersih pada tahun 2017.
Ia susulan peningkatan perindustrian dan kapasiti penapisan, dengan Vietnam menyasarkan untuk mencapai status negara perindustrian menjelang tahun 2045.
Menurut Wood Mackenzie lagi, pengeluaran minyak negara itu merosot daripada 365,000 tong sehari pada tahun 2005 kepada di bawah 120,000 tong sehari pada tahun 2025.
Untuk makluman, penemuan minyak besar di Asia Tenggara ialah di Banyu Urip di Indonesia pada tahun 2001, dan Gumusut di Malaysia pada tahun 2003.
Sumber: Motherhsip
BACA: Venezuela Tangga Teratas, Ini 5 Negara Pemegang Rizab Minyak Terbesar Dunia
BACA: Trump Umum Kerajaan Interim Venezuela Akan Serah 30-50 Juta Tong Minyak Kepada Amerika Syarikat
The post Syarikat AS Temui Telaga Minyak Di Perairan Vietnam appeared first on Siakap Keli.

