
“Ini melibatkan duit rakyat dan bukannya projek komersial.” – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Syarikat Culas Bina Menara Telekomunikasi Di Sabah Sarawak Diberi Amaran Terakhir. Syarikat-syarikat yang culas, lewat dan gagal menyiapkan projek pembinaan menara telekomunikasi bagi Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sabah dan Sarawak telah diberikan amaran terakhir.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa syarikat-syarikat terbabit perlu segera menyiapkan menara tersebut kerana ini melibatkan duit rakyat dan bukannya projek komersial.

Syarikat Culas Bina Menara Telekomunikasi Di Sabah Sarawak Diberi Amaran Terakhir
“Mereka telah mendapat isyarat yang jelas daripada saya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi. Sekiranya dalam bulan-bulan yang akan datang mereka tidak menepati garis masa yang mereka sendiri telah tentukan, kita akan mengambil tindakan tegas.
“Ada dalam kalangan mereka yang telah mendapat kontrak sejak Januari 2022, dengan tempoh pembinaan menara selama sembilan bulan tetapi kita telah jauh melepasi tempoh tersebut. Setiap negeri mempunyai dua hingga empat syarikat yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.
Fahmi juga menyatakan terdapat syarikat yang telah menyiapkan menara telekomunikasi sebanyak 50 hingga 60 peratus.
“Ada yang sudah 80 peratus. Semua ini kita beri tumpuan kerana rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya Ahli Parlimen mereka.
“Bila Parlimen bersidang hujung Jun nanti, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak pasti akan bertanyakan statusnya. Kita tidak mahu isu ini berpanjangan, kita ingin pastikan menara-menara ini disiapkan segera,” katanya.

