Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda RM3,000 atau waran levi akan dikeluarkan terhadap syarikat itu kerana memiliki produk jualan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Oni Global (Malaysia) Sdn Bhd selepas wakilnya mengaku kepada pertuduhan terhadap syarikat itu.
Syarikat itu didapati memiliki 10 unit Trimax Omega-3 Fish Oil 1500 yang tidak berdaftar pada jam 12 tengah hari 4 Mei 2021 di premis syarikat di Pusat Beli-belah Centre Point, di sini.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Tan Pueh Li dari Jabatan Farmasi hadir untuk pendakwaan manakala peguam Korvent E Jomiji membela syarikat itu.
Dalam kes lain, seorang lelaki dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengambil dadah berulang kali.
Ramlan Andi Pattang mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, kepada pertuduhan terhadapnya.
Dia ditahan pada 30 Sept tahun lepas selepas air kencingnya diuji positif dadah di balai polis Papar.
Mahkamah memerintahkan Ramlan menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman penjaranya selesai.
Sementara itu, seorang lelaki yang masuk ke negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, dipenjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan.
Mujaidin Dammang ditahan polis selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis pada 9 Sept tahun ini di kawasan Penampang.
Selepas menjalani hukuman penjara, Mujaidin diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
