
SHAH ALAM: Sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan sebuah syarikat pengurusan hutang disaman selepas didakwa menimbulkan kacau ganggu terhadap perusahaan kejuruteraan.
Perusahaan terbabit menuntut gantirugi khas sebanyak RM1.2 juta dan pelbagai tuntutan lain selepas mendakwa perniagaannya mengalami kerugian akibat daripada gangguan tersebut meskipun bayaran hutangnya didakwa sudah dijelaskan.
Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) dalam kenyataannya berkata, pada peringkat awal perusahaan berkenaan membuat pinjaman bagi tujuan perniagaan sebanyak RM350,000 sebelum ini daripada syarikat pemberi pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, sebanyak RM404,000 bayaran sudah dibuat oleh perusahaan berkenaan, namun defendan mendakwa masih terdapat baki hutang yang belum dijelaskan.
“Walaupun pembayaran tersebut sudah dibuat, defendan masih menuntut bayaran tambahan serta gagal mengemukakan rekod transaksi, penyata akaun pinjaman dan dokumen-dokumen berkaitan yang didakwa telah diminta oleh plaintif.
“Kemudian, pada 1 April lalu, wakil syarikat terbabit dengan memakai vest bertulis ‘Debt Collector’ hadir ke premis plaintif bagi menuntut hutang sehingga menjejaskan operasi perniagaan serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja,” katanya.
Tambahnya, susulan tindakan tersebut, satu Pernyataan Tuntutan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu selepas laporan polis dan aduan kepada PKPKL dibuat.
“Dalam tindakan tersebut, plaintif antara lain menuntut gantirugi khas RM1.2 juta, pemulangan lebihan bayaran RM54,000, gantirugi am, gantirugi teladan serta beberapa deklarasi dan perintah injunksi terhadap defendan.
“Sebutan lanjut kes telah ditetapkan pada 14 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” jelasnya.
Katanya lagi, tindakan defendan adalah bertentangan dengan beberapa peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Peraturan-Peraturan berkaitan serta Akta Kontrak 1950.
Sementara itu, Yang Dipertua PKPKL, Samsudin Mohamad Fauzi berkata PKPKL akan terus membantu individu atau syarikat mengalami masalah serupa yang mahu mendapatkan nasihat dan tindakan undang-undang sewajarnya. – UTUSAN
The post Syarikat pemberi pinjaman, pemungut hutang disaman appeared first on Utusan Malaysia.

