Syarikat perkapalan O&G berpotensi catat pendapatan kukuh disokong kontrak jangka panjang - RHB Research

16/04/2025 - 11:18
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 April - Syarikat kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dalam sektor minyak dan gas (O&G) berpotensi mencatatkan pendapatan lebih kukuh dan berdaya tahan disokong kontrak jangka panjang yang terjamin, kata RHB Research.
Katanya, syarikat-syarikat itu bagaimanapun berdepan risiko pendapatan yang lebih rendah memandangkan kontrak yang telah diperolehi.
“Kami percaya pelanggan tidak akan membatalkan kontrak FPSO ini disebabkan turun naik harga minyak, kerana kontrak ini disokong oleh klausa pampasan," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, di bawah situasi harga minyak mentah dalam keadaan contango, permintaan untuk penyimpanan minyak mentah dijangka meningkat apabila lebih ramai pedagang membeli lebih banyak minyak mentah.
Keadaan itu mungkin memberi manfaat kepada pemain terminal tangki bebas dan pemilik kapal tangki untuk menyimpan minyak secara sementara sama ada di darat atau di laut.
Contango merujuk kepada keadaan di mana harga niaga hadapan sesuatu komoditi adalah lebih tinggi daripada harga semasa.
"Ini menunjukkan bahawa pelabur sanggup membayar lebih untuk komoditi tersebut pada masa hadapan. Contango sering berlaku akibat kos penyimpanan dan sentimen optimistik terhadap harga masa depan," katanya.
RHB Research mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor minyak dan gas serantau dan menyenaraikan pilihan utama mereka termasuk Bumi Armada Bhd, Yinson Holdings Bhd dan MISC Bhd di Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun syarikat petrokimia domestik tidak mempunyai kehadiran yang ketara di Amerika Syarikat, pihaknya kekal berhati-hati terhadap permintaan petrokimia global susulan semakan semula keadaan ekonomi global.
“Aktiviti ekonomi global yang perlahan akan menambah tekanan terhadap harga petrokimia. Ini berlaku walaupun penurunan harga minyak mentah boleh diterjemahkan kepada penurunan kos bahan mentah bagi pengeluar berasaskan nafta,” katanya.
Ia juga menurunkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi tahun 2025 dan 2026 masing-masing kepada AS$70 setong dan AS$68 setong.
“Kami percaya pasaran minyak semasa mengambil kira senario asas kami, di mana defisit teori pasaran menyempit daripada 1.4 juta tong sehari (mbpd) pada 2024 kepada 0.4 mbpd pada 2025.
“Ahli ekonomi dalaman kami telah menetapkan kebarangkalian sebanyak 40% terhadap senario buruk kami, memandangkan ketidaktentuan dasar dan risiko tindakan balas susulan. Senario ini mencadangkan tiada pemulihan terhadap selera risiko pelabur.
“Ancaman China untuk melupuskan perbendaharaan AS dan mengehadkan eksport unsur nadir bumi mungkin meningkatkan kos pinjaman AS, menjejaskan sistem pertahanan AS, dan berpotensi mencetuskan kemelesetan kewangan global. Oleh itu, harga minyak mungkin menjunam ke arah AS$40 setong,” katanya.
Namun begitu, mereka juga percaya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya akan campur tangan untuk menyokong pasaran minyak dalam situasi sebegitu dengan menangguhkan lagi program peningkatan pengeluaran mereka dan menyambung semula mod pemotongan pengeluaran apabila perlu. - DagangNews.com
standard

