Syarikat swasta mahu separuh hasil parkir Selangor

LocalPolitics
8 Jul 2025 • 6:59 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

image is not available

PETALING JAYA – Sebuah syarikat swasta mahu 50% daripada keseluruhan hasil parkir di Selangor dan kerajaan negeri bukan sahaja bersetuju malah didakwa memudahkan pelaksanaan skim tersebut.

Syarikat berkenaan, penyedia penyelesaian bandar pintar yang dikaitkan dengan seorang taikun yang mempunyai pelbagai kepentingan perniagaan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemantauan dan penyelenggaraan parkir pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan bayaran separuh daripada kutipan hasil.

Menurut sumber, empat PBT dikenal pasti untuk pelaksanaan fasa pertama iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, mengesahkan rancangan ini kepada Scoop namun enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya beliau mengarahkan semua soalan dikemukakan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baru, Datuk Ng Suee Lim.

Bagaimanapun Ng dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak memberi sebarang maklum balas terhadap soalan yang dikemukakan.

Difahamkan bahawa cadangan tersebut, bagi pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), termasuk bayaran sebanyak RM5 juta daripada hasil tahunan parkir jalanan kepada pihak majlis, yang dianggarkan sekitar RM18 juta setahun.

Sementara daripada baki RM13 juta pula, sebanyak 40% akan dikembalikan kepada MBPJ, 10% kepada Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan 50% kepada syarikat berkenaan.

Scoop juga difahamkan bahawa syarikat itu, yang akan bekerjasama dengan bahagian penguatkuasa majlis, akan menerima peratusan daripada jumlah saman yang dikeluarkan.

Difahamkan juga, urus niaga ini dibuat secara rundingan terus tanpa sebarang proses tender terbuka – satu langkah yang dijangka memperkayakan entiti korporat terbabit sambil mengurangkan hasil PBT, dan akhirnya membebankan pembayar cukai sekiranya skim ini dilaksanakan. – 8 Julai, 2025

View Original Article