Seperti yang sedia maklum semua platform-platform permesejan atas-talian dan juga media sosial yang mempunyai 8 juta pengguna tempatan dan ke atas akan perlu memohon untuk lesen pengendali platform media sosial bermula 1 Ogos 2024, dan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2025 ini.
Baru-baru ini, kami juga telah melaporkan bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan sejumlah pengendali platform permesejan atas-talian dan juga media sosial, di mana Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjangkakan bahawa permohonan pertama akan tiba pada awal Oktober tahun ini.
Asia Internet Coalition, persatuan yang mewakili sejumlah syarikat-syarikat teknologi global seperti Apple, Facebook, Google, Expedia Group, Amazon, Line, LinkedIn dan sebagainya telah mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan kerisauan tentang keperluan lesen ini.

Isu terbesar yang diketengahkan ialah berkenaan bagaimana lesen ini akan mengekang inovasi dan fleksibiliti syarikat-syarikat ini untuk beroperasi di Malaysia.
Perubahan kepada undang-undang yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat ini juga dikatakan bercanggah dengan konsep inovasi dan keterbukaan yang akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada syarikat-syarikat teknologi digital yang sudahpun bertapak di Malaysia, tetapi juga untuk platform-platform baru yang sedang membangun.
Dalam pada itu, perbincangan yang sedang berlaku hanya selepas rangka kerja permohonan perlesenan platform permesejan dan media sosial ini diperkenalkan selepas 1 Ogos 2024 juga mendatangkan ketidakpastian kepada banyak platform-platform digital ini, mungkin khususnya apabila polisi yang diperlihatkan akan berubah sewaktu ataupun selepas perbincangan ini tamat.
AIC juga sedar akan isu yang sedang membelenggu para pengguna internet tempatan, seperti spam, judi, penipuan atas-talian, pertuturan kebencian dan juga iklan-iklan yang semakin kurang enak dibaca dan dilihat di platform-platform ini.

Menurut AIC, semua ini adalah isu yang perlu sama-sama dibanteras oleh pengendali platform dan juga pihak kerajaan, tetapi jangka-masa dan semua undang-undang baru yang ditetapkan adalah seperti paksaan dan menyukarkan syarikat-syarikat ini untuk bekerjasama untuk menghalangnya.
AIC mengatakan bahawa buat masa ini, perbincangan di antara pihak kerajaan dan juga syarikat-syarikat pengendali permesejan dan media sosial perlu dimulakan dengan asas ketulusan dan keadilan, dan perlu diberikan masa yang mencukupi supaya semua pihak boleh menjamin keselamatan atas talian rakyat Malaysia.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak AIC ini mungkin dilihat memihak lebih kepada konglomerat-konglomerat teknologi yang sudahpun bertapak di Malaysia, tetapi ada manfaatnya untuk pihak kerajaan berbincang dengan mendalam terlebih dahulu dengan syarikat-syarikat ini supaya semua pihak faham apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan platform dan pengalaman penggunaan internet yang lebih selamat.



