Syarikat telekomunikasi tunggu perincian lanjut mengenai mekanisme 5G - Kenanga Research

04/09/2025 - 11:53
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Sept – Mekanisme pelaksanaan terperinci bagi dasar rangkaian dwi-5G bakal menjadi penentu utama kepada prestasi kewangan, perbelanjaan modal (capex) dan kelestarian dividen syarikat telekomunikasi, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat kemungkinan pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham melalui dividen khas tahun ini daripada TIME Dotcom Bhd dan Maxis Bhd.
“Keadaan ini disokong oleh keperluan capex 5G yang rendah serta fokus lebih kukuh terhadap pengoptimuman kunci kira-kira khususnya bagi Time,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Bagaimanapun, Kenanga mengekalkan pandangan “neutral” terhadap sektor telekomunikasi kerana masih tiada penjelasan mengenai mekanisme pelaksanaan rangka kerja rangkaian dwi-5G.
Firma itu berkata, langkah yang akan diambil pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam menyelaraskan antara rangkaian 5G kedua dengan rangkaian sedia ada milik Digital Nasional Bhd (DNB) akan menentukan hala tuju keuntungan sektor, komitmen capex dan kemampuan membayar dividen.
Dalam persekitaran ini, Kenanga lebih menggemari pengendali talian tetap yang kurang terdedah kepada risiko dasar jangka pendek, dengan saham pilihan utama kekal Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Time.
“Time berada pada kedudukan baik untuk memenuhi keperluan dalam menghubungkan rangkaian berbeza pusat data berskala besar dan pengembangan di seluruh Asean melalui rangkaian gentian optik rentas sempadan serta penyambungan middle dan last-mile.
“Syarikat bersekutunya, AIMS Data Centre Sdn Bhd, turut giat meningkatkan kapasiti pusat data ke pasaran serantau baharu bagi merebut peluang permintaan co-location yang kian meningkat, didorong peraturan lebih ketat berkaitan pemastautinan data.
“Selain itu, Time dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan cloud dan penyambungan oleh perusahaan tempatan yang menjalani transformasi digital, selain potensi dividen lebih tinggi hasil rancangan pengoptimuman kunci kira-kira,” kata Kenanga.

Sementara itu, TM pula menarik kerana memberi tumpuan kepada trend pertumbuhan data jangka panjang termasuk transformasi digital, perkembangan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan penggunaan perkhidmatan awan berasaskan kecerdasan buatan generatif.
Kenanga berkata, TM turut berpotensi meraih projek infrastruktur daripada fasa kedua program Jendela serta menikmati penambahan keuntungan daripada pembangunan pusat data hyperscale bersama Singtel.
Kenanga menambah, terdapat peningkatan permintaan terhadap sambungan gentian darat daripada hyperscaler dan penyedia kandungan global yang mahu menghubungkan aset digital mereka di Malaysia dengan rangkaian antarabangsa.
“Bagi separuh pertama tahun ini (1H25), keuntungan bersih teras sektor telekomunikasi meningkat 3% berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh kecekapan kos di Maxis dan Axiata Group Bhd, yang mengimbangi sumbangan lebih lemah daripada CelcomDigi Bhd.
“Bagaimanapun, hasil perkhidmatan mudah alih pengendali utama menurun sedikit akibat kelemahan dalam segmen prabayar, dengan CelcomDigi berdepan kehilangan pelanggan serta Maxis menukar kaedah pengiktirafan hasil bagi program SafeDevice,” katanya.
Kenanga berkata, pengendali talian tetap pula mencatat pertumbuhan hasil 2.8% tahun ke tahun apabila sumbangan lebih kukuh daripada pelanggan perusahaan dan runcit Time berjaya mengimbangi kelemahan dalam segmen perniagaan korporat dan borong TM. - DagangNews.com
featured standard
