Syed Saddiq bebas: ‘Tak kecewa, tak suka’, SPRM akan bawa rayuan terhadap keputusan

LocalPolitics
25 Jun 2025 • 1:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dikemukakan dalam masa terdekat. 

“Saya dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengenai keputusan hari ini dan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan tersebut selepas siasatan dijalankan oleh pegawainya, Azam menjelaskan perkara itu tidak berbangkit. 

“Saya tiada ‘personal’ dengan sesiapa, tiada rasa kecewa atau suka dalam kita menyiasat apa-apa kes,” katanya. 

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq, 32, daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas tiga pertuduhan jenayah membabitkan dana sayap pemuda Bersatu itu. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023. 

Rayuan difailkan Syed Saddiq pada 12 Disember tahun lalu bersandarkan 18 alasan dalam petisyen rayuannya. – 25 Jun, 2025