
PELAKON dan usahawan, Syida Melvin memfailkan perceraian terhadap suaminya sejak Disember tahun lalu.
Syida atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, berbuat demikian ke atas Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor sejak Disember tahun lalu.
Memetik mStar, situasi dihadapi oleh adik kepada Syafiqa Melvin, Syatilla Melvin dan Syifa Melvin itu disahkan oleh peguamnya, Nurul Jamaliah dan prosiding kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.
Difahamkan permohonan difailkan Syida pada Disember tahun lalu, namun sebutan pertama baharu sahaja dijalankan pada 2 April lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor.

Menurut Nurul Jamaliah lagi, kes berkenaan pernah ditangguhkan bagi memberi ruang kepada usaha perdamaian. Namun usaha berkenaan tidak berjaya dan Syida nekad berpisah.
"Kalau ikutkan perbicaraan pernah ditangguhkan sekali kerana dengan niat ingin berdamai tetapi Syida nekad untuk teruskan (penceraian) juga," kongsinya.
Menerusi Instagram, Syida terdahulu berkongsi foto sambutan Aidilfitri di samping anak-anak tanpa kehadiran suami di sisi.
Terdahulu, Syida dan Mohamad Syafiq yang merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid berkahwin pada 19 Januari 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.


