
Syiling Malaysia Dengan Simbol Aneh Ditemukan Di Patung Legenda Perisik CIA
Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat berkongsi penemuan tiga keping duit syiling Malaysia di sebuah arca perisik di luar pintu utama Bangunan Ibu Pejabat Asal agensi berkenaan.
Menerusi muat naik di laman X rasmi agensi tersebut, duit syiling bernilai 20 sen, 10 sen dan lima sen itu ditinggalkan di dasar patung Nathan Hale yang digelar ‘pegawai perisik pertama negara’.
Menurut CIA dalam satu kenyataan berasingan di laman sesawang rasmi agensi berkenaan, patung Hale didirikan sebagai memori kepada saat akhir kehidupannya sebelum beliau dihukum mati.
“Seorang pemuda yang berusia 21 tahun, bersedia menghadapi kematian demi negara dengan penuh kehormatan. Tangan dan kakinya diikat, wajahnya tenang dan matanya memandang ke ufuk.
“Beliau berdiri mengawal agensi dengan penuh kewaspadaan dan menjadi peringatan berterusan kepada para kakitangan tentang tanggungjawab dan pengorbanan seorang pegawai risikan,” kongsi agensi tersebut.
Penemuan kepingan syiling itu merupakan perkara biasa yang dilakukan sejak turun-temurun.
Pegawai CIA yang bakal bertugas di luar negara akan meninggalkan syiling di dasar patung tersebut sebelum berangkat.
“Menurut lagenda, perbuatan ini akan membawa tuah dan memastikan Hale melindungi pegawai-pegawai tersebut dalam misi mereka.
“Kebiasaannya pegawai meninggalkan syiling suku dolar AS kerana ia memaparkan wajah George Washington yang pernah menjadi ketua Hale semasa Perang Revolusi Amerika,” maklum agensi berkenaan.
Bagaimanapun, ada juga individu yang meninggalkan syiling 76 sen sebagai memperingati tahun 1766 iaitu tahun Hale dihukum mati. Malah, ada juga yang meninggalkan mata wang asing bernilai kecil sebagai tanda peribadi seperti kepingan syiling Malaysia yang ditemui.
Secara berkala, Muzium CIA akan mengumpulkan syiling-syiling yang ditinggalkan di patung Hale.
“Syiling ini akan disumbangkan kepada Yayasan Memorial Pegawai CIA dan Yayasan Third Option bagi membantu pegawai yang tercedera serta ahli keluarga mereka, termasuk keluarga pegawai yang terkorban,” jelas CIA lanjut.
The post Syiling Malaysia Dengan Simbol Aneh Ditemukan Di Patung Legenda Perisik CIA appeared first on Siakap Keli.

