Syok Bergambar, Pelancong Rusia Tak Sengaja ‘Kantoikan’ Lokasi Senjata Putin

25 Aug 2022 • 12:37 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Gara-gara syok bergambar sewaktu bercuti, seorang pelancong Rusia tak sengaja kantoikan lokasi sebenar senjata dan aset tentera Putin di satu lokasi.

Seorang pelancong Rusia secara tidak sengaja mendedahkan lokasi senjata milik Presiden Rusia, Vladimir Putin sewaktu percutiannya di sebuah pantai di Crimea baru-baru ini, lapor Metro UK.

Difahamkan, foto yang dimuat naik di laman Facebook Rusia, VKontakte memaparkan seorang lelaki (pelancong tersebut) mengambil gambar dengan berpakaian renang di satu lokasi berhampiran bandar Yevpatoria.

Bagaimanapun apa yang menghairankan, terdapat sebuah sebuah trak tentera yang terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri. Rupanya trak tersebut merupakan aset sistem pertahanan udara S-400 milik Rusia.

Mungkin bagi pelancong itu, gambar tersebut adalah kenangan manis yang sempat dirakam semasa bercuti. Namun hakikatnya ia secara tidak sengaja sudah mendedahkan lokasi aset perang Rusia yang selama ini mungkin ‘terlindung’.

Ekoran itu, lokasi senjata milik Rusia berkenaan telah disahkan (oleh Kementerian Pertahanan Ukraine) selepas mereka membuat perbandingan gambar melalui imej yang diambil oleh satelit pada Julai lalu.

Sebelum ini, Ukraine tidak membenarkan pelancong itu untuk berkunjung ke Crimea. Bagaimanapun selepas foto itu tersebar, Kementerian Pertahanan Ukraine menyatakan bahawa larangan itu hanyalah sekadar gurauan.

“Mungkin kami bertindak kasar terhadap pelancong Rusia. (Namun) kadang-kala mereka sangat ‘membantu’.

“Seperti lelaki ini mengambil gambar lokasi pertahanan udara Rusia berhampiran Yevpatoria, di Crimea. Terima kasih dan teruskan kerja dengan baik!,” maklum Kementerian Pertahanan Ukraine dalam kenyataan di Twitter.

Bagaimanapun, matlamat selanjutnya yang bakal dilakukan oleh Ukraine setelah penemuan lokasi senjata itu masih tidak dapat dikenal pasti lagi setakat ini.

 

Terdahulu, beberapa letupan besar dilapor telah berlaku di sekitar Crimea sejak kebelakangan ini, seperti yang dilapor Metro UK.

Menurut Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov, Rusia perlu bertanggungjawab atas insiden letupan berkenaan.

Tambahan pula, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelesnky baru-baru ini menjelaskan bahawa dia percaya wilayah itu harus kekal dalam negaranya.

Sumber: Metro UK