Syria lancar akaun berbahasa Inggeris tangkis maklumat palsu

WorldPolitics
29 Aug 2026 • 3:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syria lancar akaun berbahasa Inggeris tangkis maklumat palsu

DAMSYIK: Kementerian Penerangan Syria melancarkan akaun berbahasa Inggeris, Syrian Response, bagi menangkis maklumat palsu serta menyampaikan pendirian kerajaan kepada antarabangsa.

Akaun itu dilancarkan pada 24 Ogos lalu dengan mesej pengenalan, ‘Terdapat banyak perbincangan tentang negara kita. Sehingga kini, satu suara sahaja yang hilang’.

“Kami di sini untuk berhubung secara langsung dengan anda dan memastikan anda mendapat perkembangan mengenai politik, ekonomi, keselamatan serta kehidupan seharian di Syria yang jarang mendapat liputan,” menurut mesej itu.

Pelancaran berkenaan dibuat ketika kerajaan Presiden Ahmed Al-Sharaa berusaha memulihkan hubungan dengan kerajaan asing, pelabur dan pihak berkepentingan antarabangsa selepas bertahun-tahun terasing di bawah pentadbiran pimpinan Bashar Assad.

Antara hantaran awal akaun itu memaparkan Al-Sharaa mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta setiap negara yang mesra dan menyokong Syria.

Pelancaran itu turut dibuat susulan keputusan Washington mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan selepas 47 tahun.

AS menyifatkan langkah itu sebagai penghapusan ‘halangan utama terakhir’ kepada pelaburan sektor swasta serta usaha mengintegrasikan semula Syria ke dalam ekonomi global.

Jabatan Negara AS berkata, keputusan itu dibuat selepas Al-Sharaa memberikan jaminan rasmi Syria tidak akan menyokong tindakan keganasan antarabangsa pada masa depan.

Damsyik berkata, langkah itu akan membantu menyokong pemulihan ekonomi, usaha pembinaan semula serta kestabilan di Syria dan rantau berkenaan.

Menurut Syrian Response, ia akan menyiarkan perkembangan berkaitan politik, ekonomi dan keselamatan dalam bahasa Inggeris, susulan penyebaran maklumat palsu secara meluas di internet.

Sejak kejatuhan Assad, pemeriksa fakta dan pemantau media Syria mendokumentasikan pelbagai bahan palsu atau mengelirukan, termasuk video lama yang dikitar semula, dakwaan rekaan serta kandungan yang mencetuskan ketegangan antara mazhab.

Damsyik dan penyokongnya menuduh rangkaian penyokong Assad sebagai dalang penyebaran maklumat palsu berkenaan.

Langkah itu mencerminkan trend lebih meluas apabila kerajaan, dari Kyiv hingga ibu negara di seluruh rantau Teluk, mengendalikan akaun media sosial khususnya berbahasa Inggeris untuk menyampaikan naratif mereka secara langsung kepada khalayak antarabangsa tanpa melalui tapisan media tradisional.- AGENSI

 

The post Syria lancar akaun berbahasa Inggeris tangkis maklumat palsu appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved