Systech dan tiga rakan strategik lancar EinvoicePlus.com.my bantu PKS patuhi e-invois

18/07/2025 - 10:33
Majlis pelancaran EinvoicePlus.com.my yang berlangsung di UOB Plaza turut dihadiri pelbagai pihak berkepentingan dalam industri. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Julai – Systech Bhd, penyedia infrastruktur digital bersama tiga rakan strategiknya iaitu Advisirs Plus Sdn Bhd, Weitizen Sdn Bhd dan Zanroo Malaysia telah melancarkan platform e-invois bersepadu menggunakan Kecerdasan Buatan (AI), EinvoicePlus.com.my.
Pengarah Eksekutif Systech Bhd, Datuk Jonathan Lim berkata, platform tersebut dibangunkan bagi membantu syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih bersedia dengan landskap pematuhan cukai digital yang semakin berkembang.
“Antara ciri utama platform termasuk berita cukai terkini, penasihat AI berasaskan chatbot dan modul pembelajaran digital yang disepadukan secara menyeluruh.
“EinvoicePlus.com.my bukan sahaja dapat memudahkan pematuhan cukai digital, malah mendorong usahawan lebih celik digital dengan mengamalkan perniagaan lestari.
“Ini juga komitmen syarikat sebagai bukti sokongan padu kami terhadap transormasi inisiatif e-invois negara yang diterajui oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif itu diketuai Advisirs Plus, salah satu rangkaian perakaunan yang berkembang pesat di Malaysia, dengan Systech menyediakan infrastruktur digital, Weitizen menyokong pelaksanaan sistem, manakala Zanroo Malaysia membangunkan lapisan AI yang memperkasakan keupayaan penasihat dan automasi kandungan.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Advisirs Plus, Hong Lim berkata, platform ini dibina hasil maklum balas langsung daripada pemilik perniagaan, akauntan dan ketua kewangan di seluruh negara.
“Matlamat kami mahu menjadikan e-Invois sesuatu yang mudah, mesra pengguna dan benar-benar praktikal. Dengan keupayaan AI, kami sedia membantu Malaysia bergerak maju ke arah era cukai digital,” katanya.
Platform ini turut diselaraskan dengan strategi nasional seperti MyDigital dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan (NAIR), selari dengan usaha kerajaan memperkasa automasi dan penjajaran ESG dalam pelbagai sektor.
Dengan pelaksanaan wajib e-invois secara berperingkat bermula pertengahan 2025, EinvoicePlus.com.my hadir tepat pada masanya sebagai penyelesaian menyeluruh untuk perusahaan bersedia menghadapi integrasi cukai digital.
Majlis pelancaran platform itu yang berlangsung semalam turut diserikan dengan forum bertajuk “e-Invoicing 2025: Are We Ready?” yang membincangkan kesediaan pematuhan, peranan AI serta penjajaran terhadap matlamat ESG. - DagangNews.com
standard


