TAIPING - Seorang banduan bersyukur apabila diberikan peluang kedua untuk berubah selepas dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri ini.
Lelaki berusia 32 tahun itu berkata, kehidupan di sebalik tirai besi selama enam bulan cukup menginsafkan terutama apabila ibunya tidak pernah jemu melawat dirinya hampir setiap bulan.
Menurutnya, kepulangan ke pangkuan ibunya pada hari ini umpama mati hidup semula, apatah lagi dalam suasana sambutan Syawal.
"Apabila diberitahu saya mendapat pelepasan awal, ibu adalah individu paling gembira.
"Perkara pertama yang saya mahu buat sebaik sahaja melangkah keluar adalah bersalaman dan mencium tangan ibu sepuas-puasnya.
"Saya amat bersyukur dan lega kerana dapat beraya di kampung kami nanti di Kuala Sepetang," katanya ketika ditemui di Bilik Dialog Penjara Taiping di sini pada Selasa.
Dia antara 39 banduan di penjara berkenaan yang dibebaskan menerusi pelepasan Orang Bebas Berlesan (OBB) di bawah program PBSL Ihsan Madani.
Anak tunggal itu menjalani hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan merupakan pesalah pertama kali.
"Duduk di dalam bukan sesuatu yang mudah, nak sesuaikan diri dikurung adalah sangat perit.
"Selepas ini saya tekad mahu cari kerja kosong, mungkin sebagai penghantar barang seperti Shopee. Saya serik dan tidak mahu kembali lagi ke sini," katanya.
Perasaan insaf yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi OBB berusia 27 tahun yang terjerumus ke kancah ketagihan dadah sejak usia 21 tahun.
Lebih menyedihkan, pemuda ini mengakui bahawa sepanjang dia menjadi hamba dadah, dia telah mengabaikan dan melupakan keluarganya sendiri.
"Dahulu bila lalok dengan dadah, saya langsung tak ingat keluarga. Tetapi sekarang bila diri ini sudah bersih di dalam penjara, barulah rindu dan teringat kepada mereka.
"Saya teringin sangat nak tebus kesalahan lalu dan merayakan Syawal dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga," katanya.
Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, berada di penjara membuatkan dirinya berpeluang mengikuti kelas agama, belajar mengaji dan memenuhi kewajipan solat lima waktu.
"Terima kasih kepada Jabatan Penjara yang memberikan peluang kedua ini," katanya.
Sementara itu, Penguasa Penjara Taiping, Shahrul Izzat Hamid berkata, daripada 39 banduan yang dibebaskan, tujuh daripada mereka diserahkan kepada keluarga manakala selebihnya kepada majikan.
Menurutnya, sepanjang pelaksanaan program PBSL Ihsan Madani, lebih 100 banduan dari Penjara Taiping telah dibebaskan dengan jumlah majikan terlibat sebanyak 39 syarikat.
"Rekod kita menunjukkan peratusan prospek (banduan) yang kembali ke penjara adalah amat kecil atau hampir tiada.
"Ini membuktikan inisiatif ini berjaya memberikan peluang kedua yang bermakna buat mereka," katanya.

