
Oleh Muhammad Haziq Roshidi
SHAH ALAM, 14 JUN: Malaysia antara lokasi persinggahan ribuan burung dari hemisfera utara yang melarikan diri dari musim sejuk setiap tahun.
Dianggarkan 300 spesies burung hijrah ke negara ini khususnya di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA). Antara spesies berkenaan ialah Common Hill Myna; White-rumped Munia; Crimson-winged Woodpecker; Dollarbird dan Changeable Hawk Eagle.
Spesies burung ini singgah ke Malaysia dua kali setahun iaitu dari Mei hingga Julai dan September hingga November dan 24 Mei diraikan sebagai Hari Burung Hijrah Sedunia.
Namun pembangunan pesat di kawasan pantai dan tanah lembap mengancam habitat semula jadi sekali gus menjejaskan kelangsungan spesies berkenaan.
Prihatin terhadap situasi itu, sekumpulan sukarelawan dari Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST) tampil dalam usaha mempertahankan biodiversiti negara.

Mereka melakukan tinjauan di lapangan, merekod data, serta memantau populasi burung termasuk burung hijrah.
Data yang dikumpul bukan sahaja penting untuk penyelidikan, malah menjadi rujukan bagi memahami pola migrasi dan tahap kesihatan ekosistem.
Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan berkata, antara tugas mereka ialah melakukan soal selidik serta merekodkan data burung yang datang ke Malaysia.
“Kami bukan saja mengkaji burung hijrah malah semua jenis burung yang ada di negara ini.
“Saya berharap orang ramai menyokong dan sedar kerana jika banyak spesies burung di suatu tempat, ia menandakan tempat tersebut sihat,” katanya.
Tanpa kesedaran awam dan perlindungan habitat yang serius, Malaysia mungkin tidak lagi menjadi pilihan burung hijrah pada masa depan.
Jika tidak dibendung, ia merupakan kehilangan besar dalam kitaran semula jadi dunia.

Sementara itu Ahli NEST, Abdul Afiq Abdul Rahman berkata pembinaan dan aktiviti manusia boleh mengganggu habitat burung terutama ketika waktu kritikal.
“Apabila suatu kawasan terancam, burung yang singgah tidak mendapat sumber makanan dan boleh menyebabkan mereka perlu bekerja lebih keras mencari makanan,” katanya ketika ditemui dalam Program Mini Bird Race di TBNSA.
TBNSA bukan sahaja sebagai habitat semula jadi, tetapi juga destinasi tumpuan jurufoto dan peminat burung tempatan.
Dalam pada itu Pengarah TBNSA, Rafeah Khafidah berkata keunikan dan daya tarikan utama TBNSA adalah ketika musim burung hijrah.
“Burung hijrah ke sini dua kali setiap tahun dan penghijrahan tersebut menarik peminat dan pemerhati burung menghabiskan masa demi koleksi gambar mereka,” katanya.






The post Syurga burung hijrah, 300 spesies singgah dua kali setahun appeared first on Selangorkini.

