
KUALA LUMPUR - Hidup sebagai golongan T20 tidak bermaksud seseorang itu serba dalam kemewahan.
Hakikatnya, kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai yang bergelut, apatah lagi jika menetap di bandar.
Usahawan dan pengarah syarikat, Ramakrishnan Nair berkata, golongan T20 pantas dilabel sebagai kaya dan berkedudukan, hanya berdasarkan jumlah 0 pada pendapatan mereka.
Realitinya, jelas beliau, golongan terbabit berdepan hutang yang bukan sedikit atas pelbagai faktor, termasuk perniagaan.
“Saya tahu ramai isi rumah T20 yang zahirnya nampak mewah, jika jenama pakaian atau kenderaan dipandu menjadi ukuran.
“Tapi di sebalik semua itu, mereka dibebani hutang yang jumlahnya melangkaui jangkaan kita,” katanya kepada Getaran.
Jelas Ramakrishnan, keluarga T20 lazimnya terikat dengan pelbagai komitmen, termasuk pendidikan anak-anak, polisi insuran, pinjaman rumah dan cukai lain yang wajib dibayar, seperti cukai pendapatan atau perniagaan.
“Apa yang tergambar; tinggal di kondominium mewah, kenderaan besar menjalar atau pakaian berjenama mahal, tidak sama dengan realiti kehidupan sebenar.
“Hakikatnya, tekanan kewangan dihadapi ditambah kos sara hidup yang melambung amat membebankan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, ada keluarga yang memiliki pendapatan bulanan mencecah lima angka antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan, namun baki di dalam akaun hanya sekadar beberapa ratus selepas melunaskan segala komitmen.
“Di mata umum, mereka gembira ke sini ke sana, tapi dalam hati, ramai yang bertahan hanya demi keluarga dan insan tersayang,” katanya.
Dalam hal ini tegas Ramakrishnan, kerajaan perlu memperhalusi senario sebenar dan tidak membuat penilaian berdasarkan pendapatan semata-mata.
“Saya ingin tanya kepada Perdana Menteri, adakah kerajaan benar-benar memahami struktur kehidupan T20 hari ini atau hanya melihat jumlah gaji tanpa mengambil kira komitmen sebenar,” soalnya.
Katanya, klasifikasi pendapatan sedia ada tidak lagi relevan dengan senario ekonomi semasa, khususnya di bandaraya utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Lihat semula definisi T20 supaya golongan profesional, doktor, jurutera, pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mereka yang bekerja keras tidak terus menjadi mangsa persepsi.
"Isu ini bukan sekadar soal subsidi, tetapi soal keadilan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat hari ini. Yang selalu dilihat gagah itulah sebenarnya yang paling rapuh,” katanya. - Getaran, 14 Mei 2026
