T7 Global cadangkan penempatan persendirian untuk kumpul dana sehingga RM42 juta bagi modal kerja
herman
21/03/2024 - 16:07
KUALA LUMPUR 21 Mac - T7 Global Bhd mencadangkan penempatan persendirian sehingga 90.49 juta saham atau 10% maksimum daripada jumlah asas sahamnya yang diperbesarkan.
Firma perkhidmatan tenaga itu berkata, hasil dikumpul yang dijangkakan sebanyak RM41.56 juta akan disalurkan terutamanya untuk membiayai modal kerja.
Ini bagi kontrak yang diberikan oleh Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd serta Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd kepada unit milik penuhnya Tanjung Offshore Services Sdn Bhd.
Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, T7 Global berkata, untuk tujuan ilustrasi, harga terbitan diandaikan pada 45.92 sen, diskaun 10% kepada harga purata wajaran volum lima hari saham T7 Global sehingga 8 Mac sebanyak 51.02 sen.
T7 Global menjelaskan penempatan persendirian adalah jalan pengumpulan dana yang paling sesuai pada masa ini untuk menangani keperluan pembiayaannya.
Pada masa ini, T7 Global mempunyai buku pesanan terkumpul kira-kira RM2.4 bilion yang disumbangkan terutamanya oleh bahagian tenaganya.
“Adalah menjadi hasrat lembaga pengarah untuk menumpukan pada pelaksanaan kontrak sedia ada kumpulan sambil aktif mencari peluang baharu dalam industri di mana kumpulan itu mempunyai kepakaran dan pengalaman yang terbukti,” katanya.
T7 Global tidak menjalankan sebarang pengumpulan dana dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan penempatan persendirian itu dijangka siap menjelang suku kedua 2024.
"Permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan akan dibuat dalam tempoh sebulan daripada tarikh pengumuman ini," kata pemakluman itu.
Saham T7 Global ditutup pada 53.5 sen pada rehat tengah hari Khamis, memberikannya nilai pasaran RM402.26 juta. - DagangNews.com

