KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memutuskan solat Jumaat hari ini di seluruh negeri ini diganti dengan solat Zuhur di rumah masing-masing selepas mengambil kira situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
"Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai Covid-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail memutuskan supaya solat Jumaat di seluruh Perlis pada 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

"Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM.
"Justeru itu pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuklah aktiviti agama hendaklah dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Individu berisiko dilarang solat jemaah di masjid
Baginda turut mengingatkan pengurusan masjid-masjid di seluruh Perlis mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini.
"Individu Muslim perlu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan," katanya.

